Monday, May 30, 2011

Sa'ad dikahwinkan dengan bidadari dari syurga

ABBAS berkata: "Suatu hari, datang Sa'ad bin Assulami kepada
Rasulullah dan berkata: "Ya Rasulullah, apakah akan terhalang
seseorang itu masuk syurga disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh?"

Lalu Rasulullah bersabda: "Tidak, demi Allah yang jiwa aku di
tangannya selama kamu yakin kepada Tuhan kamu dan ajaran Rasul-Nya."

Maka Sa'ad berkata: "Ya Rasulullah, demi Allah yang memuliakan kamu
dengan kenabian. Saya mengucapkan kalimah syahadat kira-kira lapan
bulan lalu dan saya datang ke sini untuk meminang orang yang ada di
sini, tetapi semua mereka menolak kerana mengatakan saya ini hitam
dan hodoh".

Sa'ad berkata lagi: "Ya Rasulullah, sebenarnya saya adalah daripada
keturunan yang baik iaitu suku Bani Sulaim, hodohnya saya adalah
daripada keturunan ibu saya."

Kemudian Rasulullah bertanya kepada yang hadir: "Adakah Amru bin
Wahab yang baru masuk Islam daripada suku Tsaqief berada di sini?"

Maka yang hadir berkata: "Tidak ya Rasulullah."

Lalu Rasulullah bertanya kepada Sa'ad: "Adakah kamu mengetahui di
mana rumahnya?"

Sa'ad berkata: "Ya, saya tahu di mana rumahnya, ya Rasulullah."

Rasulullah berkata: "Pergilah kamu ketuk rumahnya perlahan-lahan
kemudian kamu beri salam kepadanya. Apabila dia mengizinkan kamu
masuk, maka katakan kepadanya bahawa Rasulullah mengahwinkan aku
dengan puterinya."

Amru mempunyai seorang puteri yang cantik dan cerdik iaitu Atiqah.

Selepas Sa'ad tiba di rumah Amru, dia disambut dengan baik walaupun
Amru tidak berapa senang dengan kedatangannya disebabkan mukanya yang
hitam dan hodoh.

Amru semakin tidak senang apabila Sa'ad menyampaikan kata-kata
Rasulullah. Dia menolaknya dengan cara kasar hingga menyebabkan Sa'ad
keluar dan terus bertemu Rasulullah.

Selepas Sa'ad pergi, maka puterinya berkata: "Wahai ayah, carilah
selamat sebelum turunnya wahyu membuka perbuatan kamu. Jika benar
Rasulullah mengahwinkan aku dengan orang itu, maka aku terima dengan
hati terbuka dan rela atas apa yang diredakan oleh Allah dan Rasul-
Nya untukku."

Maka pergilah Amru ke majlis Rasulullah dan dia ditegur oleh orang
yang berada di situ: "Jadi kamulah orang yang menolak pinangan
Rasulullah?"

Amru berkata: "Ya benar, tetapi aku minta ampun kepada Allah kerana
aku sangka dia berdusta. Apabila aku dapati dia benar maka aku terima
dia dan sedia mengahwinkan dia dengan puteriku. Kami berlindung
jangan sampai Allah dan Rasul-Nya menjadi murka."

Selepas itu, Sa'ad pun dikahwinkan dengan mahar sebanyak 400 dirham.
Rasulullah memberitahu khabar itu kepadanya dan menyuruhnya pergi
kepada isterinya.

Lalu Sa'ad berkata: "Ya Rasulullah, demi Allah yang mengutuskan kamu
sebagai nabi, saya sesungguhnya tidak ada wang dan saya terpaksa
minta daripada saudara saya."

Rasulullah berkata: "Mahar untuk isteri kamu ditanggung oleh tiga
orang daripada kaum mukminin. Pergilah kamu kepada Usman bin Affan
dan kamu akan terima sebanyak 200 dirham. Kemudian kamu pergi kepada
Abdurrahman bin Auf, kamu akan mendapat 200 dirham dan kamu pergi
kepada Ali bin Abi Talib, juga sebanyak 200 dirham."

Maka Sa'ad pun pergi ke rumah Usman dan menerima lebih daripada yang
disebut Rasulullah, kemudian kepada Abdurrahman, dia menerima lebih
daripada 200 dirham dan akhir sekali ke rumah Ali, juga menerima
lebih 200 dirham.

Sebaik saja Sa'ad mendapat wang itu, dia pergi ke pasar untuk membeli
buah tangan untuk isterinya, tetapi tiba-tiba dia mendengar suara
yang mengatakan: "Hai kuda Allah, bergeraklah kamu!

Kemudian Sa'ad mendengar suara Rasulullah berkata: "Keluarlah kamu
untuk berjihad! keluarlah untuk berjihad!"

Maka Sa'ad memandang ke langit sambil berdoa: "Ya Allah, Tuhan
Pencipta langit dan bumi, Tuhan kepada Muhammad maka akan aku gunakan
wang ini untuk membeli sesuatu yang lebih disukai Allah dan Rasul."

Sa'ad menggunakan wang itu untuk membeli kuda, pedang, tombak dan
perisai lalu dia menguatkan ikatan serban serta pinggangnya. Dia
memakai topi yang cuma kelihatan dua biji mata saja lalu dia berdiri
tegak di barisan depan Muhajirin hingga semua orang bertanya kepada
Ali.

Maka Ali berkata: "Biarkan, mungkin dia dari Bahrain atau dari Syam
dan mungkin dia datang untuk menanyakan agama sebab itu dia ingin
mengorbankan diri untuk keselamatan kamu."

Kemudian Sa'ad maju ke depan dengan menggunakan tombak dan pedangnya
untuk memukul serta memenggal kepala orang kafir.

Sa'ad berjuang hingga kudanya sendiri tidak kuat lagi, maka dia pun
turun daripada kudanya, dia menyinsing lengannya maka dilihat oleh
Rasulullah lengannya yang hitam, lalu Rasulullah berkata: "Adakah
kamu Sa'ad?"

Maka Sa'ad mengaku dan terus menghadapi musuh. Akhirnya beliau gugur
sebagai syahid.

Sebaik saja Sa'ad gugur, Rasulullah segera mendapatkannya lalu
mengangkat kepalanya dan diletakkan di atas pangkuan Baginda sambil
mengusap tanah yang melekat di mukanya.

Baginda bersabda: "Alangkah harum bau kamu, alangkah kasihnya Allah
dan Rasul kepada kamu."

Rasulullah menangis dan kemudian tertawa, lalu Baginda memalingkan
mukanya serta bersabda: "Kini dia sudah sampai di Haudh, demi Tuhan
yang mempunyai Kaabah."

Selepas Rasulullah berkata demikian maka Abu Lubabah bertanya: "Ya
Rasulullah, apakah Haudh itu?"

Maka Rasulullah pun menerangkan: "Haudh itu ialah telaga yang
diberikan Allah kepadaku dan lebarnya ialah di antara Shan'aa Yaman
hingga Busra, di tepi telaga dihiasi permata dan mutiara, airnya
lebih putih daripada susu dan rasanya lebih manis daripada madu,
barang siapa yang minum sekali, maka dia tidak akan haus untuk selama-
lamanya."

Kemudian Rasulullah ditanya lagi: "Ya Rasulullah, mengapakah engkau
menangis dan kemudian ketawa dan terus berpaling muka daripadanya? "

Lalu Rasulullah bersabda: "Aku menangis kerana rindu kepada Sa'ad dan
aku tertawa kerana gembira melihat kemuliaan yang diberikan Allah
kepadanya.

Aku berpaling daripadanya sebab aku melihat bakal isterinya yang
terdiri daripada bidadari berebut-rebut untuk mendekatinya hingga
terbuka betis mereka, maka aku pun memalingkan segera mukaku kerana
malu."

Kemudian Rasulullah pun menyuruh orang mengumpulkan pedang, tombak
dan kuda Sa'ad untuk diserahkan kepada bakal isterinya yang sudah
diakad nikah.

Selepas itu, Rasulullah memberitahu Amru (mentua
Sa'ad), "Sesungguhnya Allah mengahwinkan Sa'ad dengan bidadari yang
lebih cantik daripada puteri kamu

"Sesungguh Solatku,Ibadahku,Hidupku,Matiku hanya kerana Allah"

"Dan Allah tuhan Kami
Rasul ikutan kami
Al-Quran Panduan kami
Jihad jalan Kami
Mati Syahid cita-cita tertinggi kami"



Share : Halaqah.net

No comments:

Post a Comment